Nenek Neelofa tak pernah tinggal baca al-Quran walaupun sakit
PUTRAJAYA - Biarpun berada dalam keadaan sakit tetapi tidak menghalang Bibi Khoteja Yusof, 77, untuk tetap membaca al-Quran dalam kehidupan seharian.
Nenek kepada selebriti, Neelofa itu berkongsi kisah meskipun pernah menjalani pembedahan sebelum ini, namun dia tetap istiqamah membaca al-Quran yang merupakan penawar terbaik untuk semua penyakit.
"Selepas menjalani pembedahan, saya tetap meneruskan membaca dan tidak pernah tinggal baca al-Quran.
"Jika keadaan sakit sangat, saya tetap mengikuti ajaran al-Quran di televisyen dan mendengar ayat-ayat suci al-Quran," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.
Bibi Khoteja menambah guru mengajar al-Quran juga datang untuk mengajarnya walaupun ketika itu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
"Saya sakit tetapi guru al-Quran datang mengajar. Saya belajar dengan guru agama untuk menambah ilmu untuk tahu makna, ingat dan hafal al-Quran," ujarnya.
Dalam pada itu, Bibi Khoteja menyifatkan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 amat bermanfaat untuk membudayakan bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.
"Alhamdulillah saya dapat hadir dan cita-cita saya memang nak datang ke sini kerana saya tidak pernah tinggal untuk mengikuti program #QuranTime di televisyen.
"Keistimewaan program ini adalah untuk membimbing serta memberi ilmu mengenai al-Quran yang bukan sahaja membaca tetapi tahu apa makna dalam setiap ayat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!