Rangka Kerja Keusahawanan Nasional dilancar Julai
RANGKA Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan pada akhir 2018, dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai, kata SME Corporation Malaysia (SME Corp).
SME Corp dalam satu kenyataan berkata rangka kerja itu akan menggariskan 21 objektif strategik di bawah empat teras strategik untuk menggalakkan pembangunan keusahawanan.
"Ia akan menjadi asas dalam merangka Dasar Keusahawanan Nasional (NEP) dengan matlamat utama untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh, inklusif dan holistik," katanya.
SME Corp berkata Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (NESDC), yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan, hari ini mengumumkan lapan langkah untuk meningkatkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS bagi mencapai sasaran 41 peratus sumbangan KDNK kepada negara menjelang 2020.
Perakuan mengenai langkah itu telah diadakan pada mesyuarat pertama majlis yang dipengerusikan oleh perdana menteri.
Anggota majlis tersebut membincangkan beberapa langkah termasuk mempergiatkan pendigitalan dalam kalangan PKS, meningkatkan integrasi PKS dalam rantaian bekalan dan menyokong lebih banyak PKS yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dengan insentif yang relevan.
Sementara itu, berlatarbelakangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar, kos tinggi untuk menjalankan perniagaan dan peningkatan prestasi eksport firma besar berbanding PKS, sasaran makro bagi kedua-dua KDNK PKS dan sumbangan eksport PKS sangat optimistik dan mencabar.
Oleh itu kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan sasaran makro tambahan untuk tahun 2020 dan tahun-tahun seterusnya - sasaran pertumbuhan tahunan KDNK PKS antara 6.0 dan 8.0 peratus setahun dan sasaran pertumbuhan tahunan eksport PKS antara 5.5 dan 7.5 peratus setiap tahun.
"Berdasarkan pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 4.7 peratus pada 2018 dan anggaran pertumbuhan KDNK keseluruhan rasmi antara 4.3 dan 4.8 peratus pada 2019 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini, pertumbuhan KDNK PKS dianggarkan kekal 5.8 peratus pada 2018 dan 2019, tanpa campur tangan dan rangsangan yang disediakan kerajaan sebagai tambahan kepada peruntukan pembangunan PKS sedia ada,” katanya.
Kerajaan memperuntukkan RM13.02 bilion untuk melaksanakan 162 program pembangunan PKS melalui 17 kementerian dan lebih daripada 60 agensi kerajaan di bawah Pelan Tindakan Bersepadu PKS.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!