KKM naik taraf hospital, klinik kesihatan daif luar bandar

Ismail Sabri (empat dari kiri) dan Khairy (dua dari kiri) bersama remaja yang mengayuh basikal sempena kempen Malaysia Sejahtera. - Foto Bernama
Ismail Sabri (empat dari kiri) dan Khairy (dua dari kiri) bersama remaja yang mengayuh basikal sempena kempen Malaysia Sejahtera. - Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menaik taraf serta membaik pulih fasiliti hospital serta klinik kesihatan di negara ini yang daif, khususnya di luar bandar.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sebahagian peruntukan RM36.1 bilion kepada KKM, diumumkan dalam Bajet 2023 akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Khairy berkata, menaik taraf fasiliti kesihatan itu penting memandangkan terdapat hospital dan klinik kesihatan daif, malah menjangkau usia melebihi 50 tahun.

"Saya sendiri turun melawat klinik yang telah dibina sejak tahun 60 hingga 70-an, ada klinik yang lagi tua daripada saya.

"Alhamdulillah, semalam diluluskan untuk KKM menaik taraf fasiliti kesihatan yang daif di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengumumkan, KKM antara yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Bajet 2023 iaitu sebanyak RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy turut berkata, perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya tertumpu kepada perubatan di hospital semata-mata, tetapi juga dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penyakit perlu dilaksanakan.

Beliau berkata, negara membelanjakan berbilion ringgit untuk pengoperasian hospital, sedangkan ia lebih baik untuk diberikan kepada usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin satu hari nanti kita dapat membudayakan sebuah Keluarga Malaysia yang sihat sejahtera, dengan hospital lengkap beroperasi, tetapi rakyat kita tidak perlu pergi ke hospital kerana kita kekal sihat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!