Yadim santuni 500 Keluarga Malaysia
JEMPOL- Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) menyantuni 500 Keluarga Malaysia di sini menerusi program Souq@Keluarga Malaysia di Masjid Tuanku Muhriz pada Sabtu.
Penerima sumbangan menerima barangan dapur seperti beras, ayam, kicap, kopi dan gula ini terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan B40 termasuklah petani, penoreh getah dan sebagainya.
Selain itu, Yadim turut menyantuni 150 Orang Kena Pengawasan dan 70 sahabat bukan Muslim di daerah ini yang mana usaha melestari gerakan dakwah tanpa mengira latar belakang seperti ini akan tetap diteruskan oleh agensi peneraju gerakan dakwah negara ini.
Souq@Keluarga Malaysia kali ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mohd Zuki dalam ucapannya meminta agar konsep kesukarelawan yang digunakan Yadim dalam gerak kerjanya terutamanya dalam melaksanakan program menyantuni rakyat dapat dicontohi oleh semua pihak.
"Bukan sahaja cekap, malah ia menjimatkan kos," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik, Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamad Amin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL),Raja Norazli Raja Nordin, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Penyelaras Yadim Negeri Sembilan, Ustaz Hassanal Haris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!