Kaedah membaca karya sastera
APABILA sesebuah karya jatuh ke tangan khalayak, ia akan dibaca menurut kelazimannya. Pembaca novel untuk mengalami peristiwa menarik yang dihidangkan. Untuk puisi bagi merasakan kehalusan dan keindahannya di samping menyerlahkan sikap pengarang.
Berdepan dengan teks drama, merasakan konflik dan rumit dramatik, yang dihantar bersama pemikirannya, bagi memenuhi jangkaan harapannya.
Konvensi bacaan itu diwarisi sejak zaman klasik hingga ke zaman moden.
Horace menyatakan sastera untuk hiburan dan pendidikan. T.S. Eliot bacaan sastera untuk memuaskan kehendak hati. Albert Camus bacaan untuk memahami gelombang hidup.
Garcia Marques sastera untuk perjuangan bangsa dan pandangan ini dikongsi bersama oleh Abd Razak Gurnah, bacaan untuk memahami perjalanan hidup yang senantiasa berubah.
Setiap zaman sama ada klasik, moden dan pascamoden menyediakan kaedah bacaan masing-masing bagi memudahkan khalayak menikmati karya sastera.
Pada zaman moden terkenal dengan saranan close reading iaitu strategi dan mekanisme bacaan karya dengan cermat, hati-hati dan teliti.
Membaca adalah sebuah aktiviti menyusur ke dalam anatomi karya, sebagai kegiatan penjelajahan makna.
Close reading dipegang hampir 500 tahun dianut oleh khalayak aliran romantisisme, yang menggesa membaca haruslah dengan sikap sepenuh perhatian.
Kemudian pada masa aliran realisme, bacaan masuk ke dalam jantung permasalahan sosial dan ekonomi.
Situasi ini diperkuat oleh teori psikonalisis, bacaan sebagai kegiatan keseronokan mendekati amalan jouissance, iaitu gerakan seksualiti manusia.
Daripada kalangan yang berpegang kepada teori moden seperti formalisme dan strukturalisme, bacaan menumpukan untuk mengenal pasti fabula atau cerita dengan menekankan aspek perkembangan naratifnya, iaitu aspek sjuzet, rangkaian pembinaan plotnya.
Kaedah ini sering juga diamalkan dalam kalangan penonton drama, sama ada drama pentas atau televisyen, yang memfokuskan kepada keinginan dan tarikan perjalanan dramatik ceritanya.
Persoalan
Pada zaman moden juga terkenal dengan kaedah bacaan syntopicon, iaitu mengkhususkan kepada pencarian terhadap subjek karya dan tumpuan kepada pemecahan persoalan.
Untuk sampai ke seberang makna sebuah cerpen, tumpuan dilakukan terhadap perkembangan watak dan sisipan peristiwa, kerana cerpen yang baik membentuk personaliti watak dan kekonkritan cerita.
Semua teori sastera pada zaman pascamoden pula, menyediakan kaedah bacaan masing-masing. Lazimnya ia mempunyai dua proses, iaitu untuk pemahaman dan penginterpretasian.
Contohnya, teori respons pembaca memberi tumpuan khas kepada bacaan khalayak, dengan meletakkan aspek apresiasi dan juga memberi kuasa untuk menentukan nilai karya.
Dalam teori semiotik milik Umberto Eco, bacaan melalui dua lapisan, iaitu semiosik dan semiotik. Semiosik pengalaman semasa dalam proses membaca, dan semiotik semasa melakukan analisis kritikan teks.
Umberto Eco mengharapkan pembaca dapat menangkap aspek semiosik, iaitu untuk mengapresiasi aspek penstrukturan terutamanya penceritaan dalam prosa dan idea dasar pengarang dalam puisi.
Kemudian baru memasuki lapisan semiotiknya, iaitu aspek memahami makna semantik dan siratan teks dengan penelitian terhadap tanda, penanda dan petanda.
Tahap semiosik dalam teori bacaan Umbberto Eco itu, dinamakannya dengan model reader dan tahap semiotik dengan critical reader.
Istilah Eco paralel dengan istilah E. D. Hirsch, seorang pengasas hermeneutiks - proses bacaan adalah bertujuan mencari makna dan signifikan.
‘Makna’ mempunyai tiga tahap pengertian, pertama apa yang hendak disampaikan oleh teks, kedua apakah maksud pengarang dan ketiga mencari petanda teks.
Sementara ‘signifikan’ ialah makna-makna yang ditanggap oleh khalayak. Tanggapan itu akan membina pula hubungan antara konsep, situasi dan apa juga yang diimaginasikan khalayak hasil daripada pencarian makna.
Riffaterra pula mengemukakan kaedah bacaan heuristic reading dan retoactive reading, dinamakannya sebagai super reader mempunyai dua lapisan bacaan.
Pertama interpretasi awal yang diperoleh oleh khalayak sewaktu sedang membaca dan lapisan kedua tanggapan konkrit untuk mencari makna asli pengarang.
Teori new historisisme menekankan kaedah bacaannya untuk menyusur sejarah bagi mencari makna baharu, melihat bagaimana pengarang dan peristiwa diangkat hasil daripada konteks sosial, politik serta ekonomi.
Fenomenologi
Teori sastera fenomenologi, teknik bacaannya dinamakan elit reader, memberi banyak tumpuan kepada aspek penerimaan khalayak, yang berkebolehan memahami gejala-gejala yang hendak diangkat pengarang dalam teksnya.
Bacaannya memfokuskan bagi mengenal cerita dan olahannya, dan merasakan sentuhan amanat dan sikap pengarang dalam puisi.
Teori kritikannya, mengharapkan khalayak dapat mencungkil gejala yang tersembunyi dalam sesebuah karya dan menyusur kesan-kesan atau pragmatiknya.
Tokoh pengasas wacana Foucault, bacaan suatu cara menghasilkan pengetahuan dan praktisnya membijakkan khalayak.
Bacaan seterusnya mengkonstruksi kekuasaan, supaya dapat mengenal subjektiviti diri dan bagaimana membina kekuasaan.
Teori pasckolonialisme bacaan pertama untuk mengenal zaman naratifnya, sama ada berada pada zaman kesedaran kolonialisme, semasa perjuangan kemerdekaan, kemeriahan atau kesedihan sewaktu menyambut kemenangan atau teks itu memerikan gerakan pascamerdeka.
Bacaan kedua, menjelajahi makna zaman naratif itu dan menyusuri aspek-aspek mimikri, hibrid, ambivalence dan hepokrisi.
Dalam teori teksdealisme, bacaannya dinamakan sebagai kaedah idealistik.
Bacaan pertamanya menyusuri aspek keistimewaan teks mencari subjektiviti pengarang.
Bacaan kedua menekankan kekuatan dan individualisme yang terbentuk daripada aspek subjek, reka cipta teks dan tindakan pengarang.
Kaedah bacaan itu semuanya, bertujuan supaya khalayak dapat memahami teks yang dibaca dengan mudah, teratur dan sistematis.
Memahami dan mengaplikasikanya akan meninggikan penguasaan khalayak, terutamanya bagi pengkaji, pengkritik dan pengarang dalam memahami sesebuah teks sastera.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!