Beri peluang UMNO bertanding kerusi Parlimen Alor Setar
ALOR SETAR – UMNO Bahagian Alor Setar masih meletakkan harapan calon daripada parti itu diberi peluang mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar berbanding MCA.
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, UMNO Bahagian sedang mengemukakan permohonan berkenaan kepada pimpinan BN pusat.
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar senarai nama calon untuk bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita hantar semua, pemuda kita hantar (dan) wanita pun kita hantar. Untuk kerusi UMNO di Alor Setar ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu dan Suka Menanti.
“Di Parlimen (Alor Setar), UMNO Bahagian mohon kepada pimpinan tertinggi BN untuk untuk diberi peluang bertanding di Parlimen kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku UMNO Kedah di sini pada malam Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusof berkata, jentera UMNO Bahagian Alor Setar sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi mendepani pilihan raya umum (PRU) sekiranya diadakan dalam tempoh terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!