Spurs lebur rekod tanpa kalah Brighton
REKOD tanpa kalah Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini lebur selepas ledakan Harry Kane membolehkan Tottenham Hotspur menang 1-0 pada Ahad.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Antonio Conte ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Manchester City, manakala Brighton jatuh ke tangga keenam.
Spurs yang kematian jurulatih kecergasan mereka, Gian Piero Ventrone tampak tidak terjejas walaupun Conte agak emosi sebelum sepak mula.
"Ia minggu sukar dan kemenangan ini sedikit menceriakan kami," ujar Kane.
Rakan sepasukan, Ryan Sessegnon pula berkata mereka perlu pamer aksi terbaik.
"Jelas kami mahu menang kerana dia dan berterima kasih di atas apa dilakukannya.
"Ia tempat yang sukar untuk dikunjungi (Brighton)., anda dapat lihat prestasi mereka di Liverpool (seri 3-3 minggu lalu) dan sangat bagus menang di sini serta tanpa bolos.
"Kami terpaksa bekerja keras," ujar Sessegnon.
Spurs berada di depan pada minit ke-22 apabila hantaran Son Heung-min ditanduk masuk Kane untuk gol kelapannya dalam aksi EPL musim ini.
Conte mengubah taktikal permainan apabila meletakkan tiga pemain tengah dengan bekas pemain Brighton, Yves Bissouma banyak mengekang asakan tuan rumah.
Brighton yang memburu gol penyamaan kerap menguji penjaga gol lawan, Hugo Lloris, manakala Lewis Dunk danSolly March hampir menjaringkan gol sebelum rehat.
Mereka yang mahu menghadiahkan kemenangan di tempat sendiri kepada jurulatih baharu Roberto De Zerbi semakin garang pada babak kedua.
Spurs juga berpeluang menjaringkan gol, namun pertahanan kedua-dua pasukan cekal bertahan.
"Saya akui keputusan ini tidak adil. Selepas 15 minit pertama hanya ada satu pasukan di atas padang dan ia adalah Brighton.
"Saya tak percaya dengan tuah. Pemain fantastik tetapi apabila satu pasukan beraksi seperti ini, ia mesej bagus untuk liga pada masa depan," ujar De Zerbi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!