Tiada dasar ketelusan, kelemahan besar Bajet 2023: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PARIT BUNTAR - Tidak ada satu dasar ketelusan serta tender yang jelas terhadap projek diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2023, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi kelemahan terbesar dalam inti pati belanjawan berkenaan kerana tidak dapat menangani isu ketirisan dalam pengurusan dana kerajaan.

Perkara itu menurutnya, jika terus dibiarkan akan merosakkan integriti negara dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi khususnya dalam memberi keyakinan kepada pelabur.

"Telah saya sebutkan, masalah utama negara kita adalah rasuah, tatakelola yang lemah dan tidak telus.

"Diumum RM1.3 bilion untuk dana DNB (Digital Nasional Berhad), tetapi (butiran) tidak (dinyatakan) menangani masalah rasuah dan ketelusan.

"Jika begini kita tak boleh pulih sebagai satu negara yang dapat membawa pelaburan dan beri keyakinan kepada pelabur," katanya ketika ditemui pemberita sempena Himpunan Harapan Perak Bangkit di tapak Pasar Malam Tanjung Piandang di sini pada Sabtu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mempersoalkan pengurangan RM17 bilion bagi perbelanjaan pengurusan subsidi yang dibuat dalam belanjawan kali ini berbanding tahun lalu.

Katanya, jumlah itu sepatutnya diperuntukkan bagi membantu rakyat miskin yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk pembangunan, kerajaan belanja tinggi sehingga RM97 bilion, tetapi subsidi orang miskin dipotong RM17 bilion.

"Wang yang kerajaan peruntukan untuk bantu orang miskin satu tahun RM22 bilion, tetapi yang 'bocor', minyak untuk nelayan, setengah hilang, baja pekebun pun setengahnya hilang.

"Ini yang saya kata dasar kena tukar," katanya.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.

Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Anwar yang merupakan Presiden PKR sebelum ini memaklumkan, PH akan meneliti kemungkinan untuk menolak Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Perkara itu selepas mengambil kira tindakan kerajaan yang didakwa tidak telus dalam beberapa perkara penting.

Disember tahun lalu dalam satu laporan media, Anwar memberi peringatan bahawa DNB boleh menjadi skandal lebih besar dari 1MDB selepas melihat tidak ada ketelusan dan tender jelas terhadap entiti itu sebagai pemborong tunggal 5G.


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!