Johor kembali nyalakan peluang
JOHOR kembali menyalakan peluang mara pusingan seterusnya selepas melakar kemenangan pertama 4-0 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan Kumpulan A Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional.
Pukulan sudut penalti oleh Mohd Kamaruzaman Kamaruddin membawa Johor meraih kemenangan 4-0 ke atas Kuala Lumpur dalam Kumpulan A Piala Tun Abdul Razak ke-60 lelaki di Stadium Hoki Nasional hari ini.
Kemenangan itu menghidupkan semula harapan Johor dalam kejohanan itu selepas mengalami kekalahan 2-0 kepada juara bertahan Perak pada hari pembukaan sebelum ini.
Johor bermula cemerlang, dengan Muhammad Syafiq Mohd Sani memberikan pendahuluan awal menerusi gol padang minit kedua.
Mohd Kamaruzaman Kamaruddin kemudian mempamerkan kehebatan set piece dari pukulan sudut penalti pada minit ketujuh dan ke-42.
Muhammad Faris Ros Fadilah kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Johor dengan gol padang pada minit ke-59.
Sementara itu, Muhamad Nazrey Din menjaringkan hatrik ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghidupkan semula harapan dengan kemenangan 5-3 ke atas Negeri Sembilan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A.
Nazrey membuka tirai jaringan pada minit ke-18, diikuti oleh Muhammad Ikhwan Ishak pada minit ke-35.
ATM kemudian memulakan separuh masa kedua dengan Muhammad Irfan Haiqal menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan padang pada minit ke-38, sebelum Negeri Sembilan mengurangkan defisit menerusi Raja Haikal Danish Raja Azmi Yazir pada minit ke-44.
Nazrey kembali mengukuhkan tiga gol ATM bagi menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-50.
Namun Negeri Sembilan kemudian membalas menerusi Muhammad Noor Syahmi Noor Azmi, sebelum Nazrey menyempurnakan hatriknya pada minit ke-52.
Negeri Sembilan tidak mengalah kemudian mengurangkan defisit untuk menjadikan kedudukan 5-3 menerusi Muhammad Harizh Iman Chairil Anwar pada minit ke-53.
Sementara itu, Melaka melonjak ke tangga teratas Kumpulan B selepas berpesta gol menundukkan Singapura 8-0 sekali gus mengekalkan rekod 100 peratus dengan 16 gol dan hanya satu bolos, yang sebelum itu menewaskan Pulau Pinang 3-1 dan Selangor 5-0.
Muhammad Nur Asyraf Ishak muncul bintang sensasi Melaka apabila meledak empat gol hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-30, 32, 36 dan 44.
Gol Melaka lain dijaringkan menerusi Muhammad Muhibuddin Moharam pada minit pertama, Muhammad Amirul Aiman Ariffin pada minit ke-52, Akmal Azaman pada minit ke-53 dan kapten Amirullah Zainol pada minit ke-57.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Perlis menewaskan Polis 2-1 hasil jaringan Muhammad Ariff Aiman Md Junid pada minit ke-10 dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-33, manakala gol tunggal Polis dijaringkan oleh Baljit Singh Sarjab menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-39.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Pulau Pinang mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor menerusi jaringan Eswaran George pada minit ke-39 dan pukulan penalti Jiwa Mohan pada minit ke-56 selepas Muhammad Zul Fitri Md Zin memberikan Selangor pendahuluan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-15.
PIALA TUN ABDUL RAZAK
KUMPULAN A:
Kuala Lumpur 0-4 Johor
ATM 5-3 Negeri Sembilan
KUMPULAN B:
Melaka 8-0 Singapura
PDRM 1-2 Perlis
Selangor 1-2 Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!