Calon PKR diputuskan JPRT: Nurul Izzah
SUNGAI PETANI - Senarai calon PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) termasuk bagi tiga negeri di utara membabitkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, antara keutamaan yang diberi perhatian haruslah yang mampu beri keyakinan kepada pengundi dan istiqamah dalam perjuangan.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) bagi tiga negeri tersebut berkata, selain itu, calon yang akan dipilih mestilah seorang yang bertanggungjawab terhadap pengundi dan parti.
"Saya serah kepada JPRP, kita ikut cabang tertentu, yang penting adalah seseorang yang dapat menyakini rakyat dan istiqamah bersama perjuangan parti.. Kita nak pastikan kita kalis cabaran masa depan dan boleh beri keyakinan pada pengundi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Jelajah dan Pelancaran Trak Zon Utara di Bandar Laguna Merbok pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, memandangkan PRU kali ini memperkenalkan cara permohonan secara dalam talian di mana calon yang ingin bertanding mestilah memohon secara dalam talian sebelum penilaian dibuat, beliau menggesa agar permohonan segera dilakukan.
"Kalau lihat apa yang diumumkan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli meminta semua calon menyerahkan permohonan (dalam talian), proses ini kita cuba jalankan secara sistematik dan setiap minggu kita ada latih tubi.
"Kita berkerja secara pasukan, JPRP telah lakukan proses latih tubi termasuk aplikasi CISTA sama ada kepada online media dan Ejen Tempat Mengundi atau Ejen Mengira Undi (PACA) serta masih diteruskan," katanya.
Pada masa sama, Nurul Izzah berkata, beliau sedang berusaha menjelajah ke setiap kawasan yang ditandingi PKR bagi mendekati pengundi.
"Alhamdulillah, saya ada timbalan dan pasukan yang sangat gigih bekerja sama ada di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!