VSN 2030 selaras perkembangan modal insan: Norza

Mohamad Norza. -Foto Agensi
Mohamad Norza. -Foto Agensi
A
A
A

VISI Sukan Negara (VSN) 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil kira trend terkini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, rangka tindakan sukan bagi tempoh 10 tahun itu, berkisar kepada perkembangan modal insan, iaitu atlet dan jurulatih.

Mohamad Norza turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang mengumumkan empat inti pati utama ketika pelancaran pelan tindakan itu, sempena sambutan Hari Sukan Negara 2022 di Putrajaya pada Sabtu.

Beliau berkata, penawaran biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat dari peringkat Sukan Malaysia (Sukma) ke kejohanan antarabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan, pastinya menjadi pemangkin kepada atlet yang bercita-cita untuk menaiki podium tanpa melupakan impian ke menara gading.

"Ini meluaskan kelompok atlet yang memiliki intelek untuk mengurus kerjaya ketika di kemuncak dan seterusnya selepas bersara. Ia juga memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa penyertaan anak-anak mereka dalam bidang sukan tanpa dibebani isu atau bebanan kewangan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, VSN juga membuka peluang kepada bekas atlet untuk menyumbang semula dalam sukan, apabila mereka yang berkemahiran dipertimbangkan sebagai jurulatih Pendidikan Jasmani dan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID).

"Apa yang penting proses pengenalpastian bakat dilaksanakan oleh mereka yang pernah susah dan senang dalam sukan berkenaan. Selain itu, atlet berkemahiran berpeluang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih," katanya.

Beliau turut positif mengenai rancangan menaik taraf fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, budaya bersukan di peringkat massa akan meluaskan kelompok masyarakat yang bersukan, sekali gus akan mendedahkan masyarakat umum kepada bibit-bibit sukan prestasi tinggi.

"Dasar ini bukan sahaja mencetuskan budaya penyelenggaraan dan pemeliharaan yang subur, ia juga memberi opsyen dan platform kepada Keluarga Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, iaitu jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan e-sukan akan turut disenaraikan. Ini akan membuka ruang kepada sukan seperti e-sukan yang menjadi tarikan belia hari ini diiktiraf dan diwartakan, sejajar perkembangan masa kini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!