4 lelaki ditahan palsukan surat Pejabat Sultan Kelantan

Muhamad Zaki - Foto Bernama
Muhamad Zaki - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan empat lelaki berusia 45 hingga 70 tahun pada Selasa untuk membantu siasatan berkaitan satu mesej melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kesemua mereka direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu tipu dengan jalan samaran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang pengadu yang juga pegawai istana memaklumkan surat melalui WhatsApp itu sama seperti yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan.

Menurut beliau, surat itu mengandungi titah kononnya Sultan Kelantan memberi perkenan dan menyokong penuh usahasama tiga syarikat melaksanakan satu projek di salah sebuah jajahan di negeri ini.

"Pengadu itu memaklumkan menerima mesej berkenaan pada 28 September kira-kira jam 8 malam.

"Surat itu turut disertai bersama sekeping surat bertarikh 15 September 2022 mengandungi tandatangan pengadu," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, pengadu bagaimanapun menafikan tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan dan mengesyaki terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menyamar sebagai pengadu menandatangani surat palsu tersebut.

"Beliau kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungn itu, Muhamad Zaki menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang dokumen yang diterima dalam situasi yang meragukan.

"Semakan perlu dibuat dengan pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut atau agensi yang berkaitan," katanya.

Sementara itu katanya, polis Kelantan kini bersedia menghadapi banjir dan sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada perkembangan membimbangkan tetapi polis sentiasa memberi amaran kepada orang ramai.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan agensi lain untuk melihat persediaan lain yang boleh dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!