PRU15: PN kemungkinan besar kekalkan penyandang
IPOH - Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang sedia menyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan besar dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan itu berdasarkan kepada prinsip calon boleh menang bagi memastikan satu-satu kerusi itu dapat dipertahankan.
"Kita akan menilai apabila sampai masa pilihan raya, jika penyandang itu terbaik dan boleh pertahankan kerusi, pastinya kita akan pertahankan.
"Dalam hal ini prinsipnya adalah soal calon yang boleh menang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Perak di Pejabat PN negeri di Pusat Perniagaan Simee di sini pada Ahad.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sekiranya berlaku perubahan, mungkin hanya melibatkan satu ke dua kawasan dan akan diselesaikan secara perbincangan bersama pimpinan tertinggi PN yang diwakili Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan).
"Jika berlaku, kemungkinan satu ke dua tempat ada perubahan, itu kita akan teliti dan buat keputusan kemudian," katanya.
Muhyiddin berkata, selari dengan perkara itu pimpinan pusat PN akan memberi fokus yang lebih kepada kawasan-kawasan tumpuan bagi memastikan kemenangan benar-benar berpihak kepada gabungan tersebut.
Tanpa mendedahkan kawasan tumpuan itu, beliau menjelaskan, gerak kerja diatur termasuklah menerusi pelaksanaan Jelajah Prihatin di seluruh negara.
"Ini sedang diatur di peringkat Pusat, namun kita juga minta di peringkat negeri mengatur gerak kerja seperti ceramah di negeri sendiri," katanya.
Mengulas mengenai persediaan manifesto, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pimpinan negeri telah diberikan persetujuan menyatakan tawaran mereka untuk dimasukkan dan ditambahkan dalam inti pati manifesto berkenaan.
"Peringkat negeri seperti Perak, ada perkara-perkara tertentu yang difikirkan wajar, maka mereka boleh sediakan satu lagi tambahan manifesto untuk dibincangkan dengan pimpinan Pusat sebelum dipersetujui," katanya.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan, Datuk See Tean Seng.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!