PBNS cadang tambah baik prasarana Stadium Tuanku Abdul Rahman
PERSATUAN Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mencadangkan supaya prasarana Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi ditambah baik pada tahun hadapan.
Naib Presidennya, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, ia sebagai penghargaan kepada pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan penyokong-penyokongnya termasuk Ultras Jang.
"Kita berharap akan ada berita baik tentang naik taraf stadium dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2023 yang akan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada bulan depan.
"Ia juga Insya-ALLAH sebagai memenuhi syarat AFC dari segi prasarana stadium sekiranya NSFC terpilih ke Asian Cup pada tahun hadapan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syabas apabila pasukan NSFC berjaya menewaskan pasukan Kedah Kedah Darul Aman (KDA) FC, 4-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Malah katanya, pencapaian terbaik pasukan NSFC sebelum ini telah pun mendapat perhatian kerajaan negeri dengan pemberian insentif.
"Insentif kemenangan setiap perlawanan memang telah sedia ada dipraktikkan dari awal musim Liga Super 2022," katanya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri berkata, ini adalah tahun pertama NSFC kembali dalam saingan Liga Super selepas agak lama bersaing di Liga Premier.
"Pihak PBNS dan NSFC berharap penyokong-penyokong bola sepak negeri ini dapat turun beramai-ramai dalam baki dua perlawanan menentang Melaka United FC dan Sri Pahang FC nanti," katanya.
Kemenangan ke-11 skuad Hobin Jang Hobin itu merapatkan jurang kedudukan yang hanya ketinggalan satu mata di belakang Sabah di tangga kedua dan dipisahkan oleh perbezaan jaringan setelah mengumpul mata sama dengan Terengganu FC (TFC) di tempat ketiga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!