TSG muktamadkan skuad ke LTdL 2022
PASUKAN bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) memuktamadkan senarai enam pelumba yang akan membawa cabaran pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dijadualkan bermula Selasa ini.
Pelumba yang disenaraikan adalah Anatolii Budiak; Metkel Eyob; Jambaljamtsz Sainbayar; Youcef Reguigui; Mohd Harrif Saleh; dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zarrif yang merupakan pelumba termuda TSG dan pernah memenangi gelaran Raja Bukit LTdL 2020.
Ketua Pegawai Operasinya Nasiruddin Wan Idrus berkata, TSG melakukan perubahan akhir dengan memasukkan Muhammad Nur Aiman bagi menggantikan Nur Amirul Fakhruddin Mazuki yang diletakkan pada senarai awal pelumba ke LTdL.
Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan penilaian prestasi semasa Muhammad Nur Aiman yang baik dan memberangsangkan ketika beraksi di Tour Of Iran, Azerbaijan baru-baru ini.
"Nur Aiman berjaya merangkul tempat kedua pada peringkat pertama dan peringkat kelima sekali gus membolehkan TSG pulang dengan tiga podium termasuk menerusi seorang lagi pelumba import dari Ukraine, Anatolii Budiak.
"Beliau adalah sandaran terbaik TSG untuk sekali lagi bergelar Raja Bukit pada LTdL edisi ke-26 selepas memenanginya ketika bersama pasukan Sapura Cycling Team pada 2020," katanya.
Menurut Nasiruddin, TSG meletakkan sasaran yang realistik dengan kemenangan satu podium dan jersi kuning pada saingan kali ini, selepas mengambil kira saingan daripada pasukan bertaraf benua dan dunia yang turut hadir pada perlumbaan paling berprestij di rantau ini.
"Kita percaya enam pelumba yang disenaraikan ini mampu menghadiahkan kemenangan dan keceriaan buat kem pasukan dan peminat sukan berbasikal negara," katanya.
LTdL kali ini menampilkan lapan peringkat perlumbaan bermula dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah pada 18 Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!