Seludup haiwan liar, rakyat Malaysia didakwa di AS
SHAH ALAM - Polis mengesahkan rakyat Malaysia, Teo Boon Ching, 57, telah diekstradisi dan dituduh di mahkamah Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan pemerdagangan haiwan liar pada Jumaat.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Boon Ching yang ditahan di Thailand 29 Jun lalu dituduh di mahkamah atas kesalahan pemerdagangan haiwan liar dan Akta Pengubahan Wang Haram AS.
Bersabit kes ini, semakan mendapati tiada terkesan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh Teo Boon Ching di Malaysia, namun pemantauan akan terus dilaksanakan.
"PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa di dalam dan luar negara bagi membanteras jenayah penyeludupan haiwan liar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu media tempatan melaporkan, Boon Ching yang dikatakan aktif memperdagangkan haiwan liar sejak dua dekad lalu telah diekstradisi ke AS selepas ditahan di Thailand menerusi perjanjian ekstradisi dua hala yang membabitkan kedua-dua negara terbabit.
Jabatan Perbendaharaan AS dilapor berkata, pendakwaan telah dibuka di Mahkamah Daerah di Selatan New York di mana Boon Ching didakwa terlibat dalam konspirasi pemerdagangan hidupan liar dan pengubahan wang haram.
Warga Malaysia itu didakwa menyeludup haiwan terancam termasuk bahagian badan haiwan liar berkenaan seperti tanduk badak sumbu, gading, dan tenggiling.
Mahkamah AS turut mendakwanya atas pertuduhan terbabit dalam konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram (kg) tanduk badak sumbu bernilai lebih AS$725,000 (RM3.362 juta) yang membabitkan pemburuan haram pelbagai badak sumbu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!