Bayi lemas, sembilan selamat nahas bot karam
KOTA BELUD - Seorang bayi lelaki lemas, manakala sembilan lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Kampung Rampaian Laut di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1.05 petang itu, Muhammad Hayrul Sufyan Fian yang berusia 12 bulan ditemui penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.22 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 21 kilometer dari BBP Kota Belud.
"Menurut laporan terdapat empat lelaki dan tiga wanita dewasa bersama tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Pulau Mantanani ke Kampung Rampaian Laut.
"Mereka difahamkan ke Pulau Mantanani untuk melawat keluarga dan ketika dalam perjalanan pulang bot telah karam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Muhammad Syazwan berkata, ketika kejadian terdapat sebuah bot penumpang di lokasi kejadian yang bertindak menyelamatkan mangsa.
"Sembilan mangsa berjaya menyelamatkan diri, bagaimanapun seorang bayi lelaki ditemui penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.15 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!