UMNO dijangka adakan mesyuarat khas MKT esok
SHAH ALAM - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka akan mengadakan satu mesyuarat khas malam esok.
Menurut laporan Malay Mail yang memetik sumber dalaman parti itu, pertemuan tersebut dikatakan berlangsung susulan desas-desus mengenai pembubaran Parlimen yang dijangka dibuat minggu ini.
“Malam esok (Isnin), akan ada satu pertemuan istimewa melibatkan MKT UMNO,” kata sumber itu ketika dihubungi Malay Mail.
Menurutnya, pertemuan itu dijangka berlangsung selepas mesyuarat biro politik parti pada sebelah petang.
Ujar sumber tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan berada bawah tekanan untuk menyegerakan PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di samping pimpinan parti itu yang yakin akan memenanginya ditambah keadaan pembangkang yang kurang sokongan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan penjadualan semula pembentangan Bajet 2023 dari 28 Oktober kepada tarikh lebih awal iaitu 7 Oktober, di tengah-tengah spekulasi mengenai pilihan raya awal pada masa itu.
Jelasnya, keputusan itu dibuat oleh Ismail Sabri yang menggunakan kuasanya di bawah Peraturan 11(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa memberi tekanan untuk membubarkan Parlimen meskipun mendapat kritikan daripada pembangkang dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah memberi amaran tentang kesan yang akan berlaku kepada pengundi kerana ia bakal berlangsung pada musim tengkujuh.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata, kebimbangan yang diluahkan oleh pesaing BN hanya direka untuk menutup ketakutan sebenar mereka yang mungkin ditolak oleh pengundi dalam pilihan raya nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!