Bubar Parlimen Isnin atau Selasa?

A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan pembubaran Parlimen dalam tempoh 48 jam ini.

Sinar Harian difahamkan, Ismail Sabri telah pun menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang Ahad untuk memohon pembubaran Parlimen sejurus sebelum baginda berangkat ke London, pada malam Ahad.

Al-Sultan Abdullah dijadual membuat kunjungan hormat kepada Raja Britain, Raja Charles III dalam lawatan khas baginda ke London bermula esok hingga 16 Oktober ini.

Ismail Sabri dijangka mengadakan pertemuan dengan jemaah menteri dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Adalah difahamkan juga Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenan membenarkan Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Jika pengumuman pembubaran Parlimen dibuat sama ada pada Isnin atau Selasa maka senario ini lebih kurang sama dengan situasi pada 1999.

Pada waktu itu, Parlimen dibubarkan selepas pembentangan bajet.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Parlimen sekitar 10 November, selepas bajet dibentang di Dewan Rakyat pada 29 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Secara logik, beberapa petunjuk yang memberi bayangan bahawa PRU15 tetap akan diadakan dalam masa terdekat sebenarnya secara tidak langsung telah jelas kelihatan.

Contoh pertama, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, telah berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!