Jangan terus salahkan Tabung Haji: PUNB Pulau Pinang
SHAH ALAM - Orang ramai terutamanya pencarum diharap tidak terus menerus menyalahkan Tabung Haji sebaliknya terus menyokong institusi kewangan Islam tersebut.
Tindakan meletakkan sepenuh kesalahan kepada Tabung Haji bukan satu solusi sebaliknya akan memberikan salah tanggapan kepada institusi kewangan berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Usahawan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Pulau Pinang Abdullah Mohamed Noor berkata apa yang perlu dilakukan adalah terus menyokong Tabung Haji ketika ini.
"Seperti yang kita sedia maklum, Tabung Haji kini dalam proses pemulihan dari segi kewangannya dan perkara ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab institusi kewangan ini semata-mata, namun sebagai pencarum kita seharusnya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
"Dalam masa sama, hibah dalam erti kata yang lain adalah hadiah yang bukannya menjadi satu kebiasaan dan kali ini dengan kedudukan kewangan Tabung Haji, tidak membolehkan hibah diberikan dengan jumlah yang tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau turut menasihatkan kepada golongan tertentu agar tidak cuba mempolitikkan isu tersebut.
"Tabung Haji bukan satu isu yang wajar dijadikan modal politik semasa, ianya melibatkan keyakinan jutaan umat Islam di negara ini.
"Jangan kita cuba menangguk di air yang keruh, cuba mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku, seharusnya faham dengan lebih lanjut terlebih dahulu akan isu sebenar yang berlaku, itu yang sebaiknya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Hibah TH pada kadar 1.25 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!