43 rumah musnah terbakar di Kudat
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, dianggarkan seramai 43 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kudat dan Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
"Kebakaran melibatkan 43 rumah jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus di mana kedudukan rumah dalam keadaan rapat menyebabkan kebakaran mudah merebak.
"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan jentera bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air dan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, Ishak berkata, hasil pemeriksaan awal tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian terbabit.
"Jumlah sebenar mangsa yang terjejas belum dapat dipastikan tetapi setakat ini, ia melibatkan 43 keluarga. Kita masih menunggu laporan daripada pihak ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk jumlah keseluruhan yang terjejas.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.21 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 6.43 pagi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!