Klopp berang pengadil beri penalti kepada Arsenal

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp nyata kecewa dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal sekali gus menyebabkan pasukannya tewas 2-3 ketika menentang Arsenal awal pagi tadi.

Menurut Klopp, penalti tersebut tidak sepatutnya diberikan memandangkan terjahan yang dilakukan pemainnya ke atas Gabriel Jesus itu boleh dikatakan lembut dan seolah tidak ada sentuhan dilakukan ke atas pemain tersebut.

“Saya fikir jika ia adalah penalti, ia adalah satu yang sangat lembut. Saya tidak tahu sama ada terdapat terjahan sebenar kerana Gabriel Jesus jatuh sedikit lewat.

“Bagaimanapun Encik England [VAR] berpendapat ia tidak berbaloi untuk menghantar pengadil ke skrin. Kita tidak boleh mengubahnya,” katanya.

Pada aksi tersebut, Arsenal berjaya membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Gabriel Martinelli sebelum Darwin Nunez menyamakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-34.

Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka kembali meletakkan Arsenal di depan pada penghujung aksi babak pertama namun Roberto Firmino menyamakan kedudukan sebaik babak kedua bermula.

Saka menjadi wira buat Arsenal selepas mengesahkan kemenangan kelapan Arsenal dalam sembilan aksi liga apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-76.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool terus berdepan dengan kemarau kemenangan dan kini berada kedudukan ke-10 liga dengan perbezaan 14 mata pendahulu liga Arsenal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!