Bajet 2023: Beri kelegaan kepada OKU, kaji kuota MyStep

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ras Adiba Radzi
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ras Adiba Radzi
A
A
A
KUALA LUMPUR - Inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2023 sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, Bajet 2023 merupakan manifestasi yang cukup jelas oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merealisasikan keterangkuman sebagai prinsip utama Keluarga Malaysia sekali gus memberi pengiktirafan yang sebenar kepada golongan OKU.

"Saya menyambut baik pengumuman bajet berjumlah RM1.2 bilion yang disediakan khusus untuk OKU antaranya melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun OKU (EPOKU) melalui Bajet 2023,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.



Bagaimanapun, beliau memohon agar kerajaan melihat semula sistem kuota bagi program MyStep.

"Hal ini kerana dalam Bajet 2023 tidak diumumkan kuota khas MyStep bagi belia OKU seperti diumumkan dalam Bajet 2022. Ini adalah penting bagi mengatasi soal pengangguran dalam kalangan komuniti OKU.

"Saya terkilan kerana kerajaan tidak langsung mengumumkan sebarang perancangan dan pelaksanaan mengenai dasar Satu Peratus OKU dalam sektor awam yang masih gagal dilaksanakan walaupun sudah tiga dekad. Saya mohon kerajaan mengambil tindakan serius mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, Ras Adiba berharap agar kerajaan merancakkan lagi usaha pemerkasaan dan tumpuan terhadap kesejahteraan sosial komuniti OKU di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memperintiskan Pusat Panggilan Mesra OKU dengan menggunakan mod panggilan video bersama khidmat jurubahasa isyarat bagi menyampaikan maklumat.

Katanya usaha ini adalah selari dengan komitmen Malaysia dalam Deklarasi Bucharest berhubung pembinaan masa depan digital yang lebih baik untuk semua dan berharap kesungguhan kerajaan merancakkan pertumbuhan digital tidak akan meminggirkan komuniti OKU.

Ras Adiba turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak melupakan pemerkasaan pendidikan bagi anak-anak OKU dengan menyediakan insentif khas penubuhan 50 Taska OKU baharu berbanding 13 yang sedia ada serta penyediaan RM20 juta untuk menambah baik fasiliti di sekolah berkeperluan khas.
Artikel Berkaitan:


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan menyokong penuh kepada kerajaan apabila mendengar cadangan dan rintihan komuniti penyakit jarang jumpa Malaysia dengan memperuntukkan RM25 juta dan usaha dalam menjadikan Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tunku Azizah sebagai pusat rujukan penyakit ini.

Beliau juga menyeru agar orang ramai dan syarikat korporat terus memberikan sumbangan melalui akaun Amanah bagi rawatan penyakit jarang jumpa yang ditubuhkan kerajaan melalui Bajet 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!