Bila ahli biasa Bersatu nak keluar parti, soal Zahid
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan persoalan bila lagi ahli-ahli biasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat cawangan akan keluar dari parti.
Zahid secara sinis mengingatkan mereka supaya tidak 'lari' beramai-ramai pada saat-saat akhir selepas tewas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti kerana sudah terlewat untuk berbuat demikian.
Menurutnya ini berikutan bekas pemimpin Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang bersama-sama dengan parti itu tiba-tiba bertukar arah dan umum keluar dari parti tersebut.
"Cuma untuk ahli-ahli Bersatu yang bukan berstatus pengasas bersama Bersatu dan ahli strategis.Ingin saya tanyakan, anda ahli-ahli biasa di peringkat cawangan bila lagi keluar dari parti Bersatu?
"Jangan pula lari malam beramai-ramai selepas tewas PRU. Sudah terlewat ketika itu!" katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Rais Hussin memaklumkan telah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas menghantar surat rasmi mengenai perkara itu pada Khamis.
Rais Hussin menyatakan antara sebab peletakan jawatan tersebut adalah berpunca daripada masalah kesihatan yang dialaminya serta banyak menumpukan tugasan lain seperti kerja pembangunan dalam EMIR Research.
Dalam pada itu, Zahid berkata, tindakan bekas pemimpin Bersatu keluar dari parti itu merupakan satu tamparan besar kepada parti berkenaan.
Tambahnya lagi, sudah tentu ada faktor yang besar yang menyebabkan beliau keluar dari parti Bersatu ketika PRU semakin hampir.
"Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti Bersatu sendiri yang dilihat bakal tewas dan tak boleh diselamatkan lagi.
"Ini akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas.
"Sudah pasti, parti Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin parti dari segi jawatan kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar," katanya.
Zahid menjelaskan sudah pasti pakar dan ahli strategis yang pintar boleh membaca dan menjangka situasi politik semasa.
"Jika partinya masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah dan terang benderang maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti.
"Lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," ujarnya.
Zahid berkata, bagaimanapun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam meskipun Bersatu mempunyai jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan memegang jawatan GLC.
"Malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti.
"Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa Bersatu boleh memang besar selain membentuk kerajaan selepas PRU-15 ini," jelasnya.
Tambah Zahid, seperti yang dikatakan olehnya sebelum ini, ada juga yang telah melompat balik ke UMNO secara terbuka dan senyap-senyap.
"Ada juga yang mengaku telah kembali ke UMNO walaupun tak pernah diketahui UMNO bahagian.
'Ada juga mengaku kembali tetapi sikapnya tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti. Sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam," katanya.
Tambah beliau, percubaan Bersatu sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan.
"Ahli UMNO sejati walaupun pernah tewas PRU-14, cuba diaibkan dengan pendakwarayaan terpilih, cuba diugut dibubarkan parti UMNO tetap tidak goyang dalam mempertahankan UMNO.
"Malah sanggup mempertahankan UMNO dengan jiwa raga walaupun ada yang menjauhi diri daripada parti, ada yang lompat parti dan ada juga menjadi musuh dalam selimut parti, UMNO tidak pernah gentar!" katanya.
Zahid turut mengucapkan tahniah kepada bekas pemimpin itu kerana pandai membezakan parti mana yang relevan dan bakal menang menjelang PRU.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!