Skuad B-16 menang besar, taktikal jerat Indonesia menjadi
PENGENDALI skuad B-16 negara, Osmera Omaro mengakui terkejut dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya ketika membelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17, pada Ahad.
Menurut beliau, kunci kejayaan kepada kemenangan besar itu dari taktikal yang diterapkan selain anak buahnya bijak terjemahkan setiap peluang dengan gol.
“Pada saya, corak permainan tak banyak berubah dan boleh dikatakan tiada elemen kejutan dilakukan, cuma kali ini taktikal diterapkan menjadi apabila pemain bijak menggunakan peluang ada untuk menjaringkan gol.
Saya yakin kita mampu mengatasi Indonesia namun tidaklah dengan jaringan besar. Kemenangan ini menyuntik semangat pemain untuk meraih lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.
"Pada perlawanan sebelum ini, kita mempunyai banyak peluang namun tidak berakhir dengan jaringan sekali gus dilihat agak sukar atau bergelut untuk memenangi perlawanan,” katanya.
Sebelum ini, skuad B-16 mengesahkan slot secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 selepas membelasah Indonesia 5-1 di Stadium Pakansari, Cibinong, Indonesia pada Ahad.
Gol Harimau Muda dijaringkan Zainurhakimi Zain pada minit ke-17', Arami Wafiy (20'), (38'), Anjasmirza (23') dan Afiq Danish Zulkifli (26'), manakala gol Indonesia dihasilkan Arkhan Kaka Putra pada minit ke-93.
Tiga mata itu menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro mengungguli kumpulan dengan 10 mata kempen kelayakan kali ini.
Dalam pada itu, Osmera turut berharap akan terus diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan itu kerana masih ada misinya yang belum diselesaikan.
“Saya berharap FAM akan berikan kepercayaan kepada saya untuk mengemudi pasukan ini pada Piala Asia B-17.
“Ini kerana, saya percaya skuad ini mampu untuk pergi lebih jauh dalam kejohanan tersebut yang bakal berlangsung tahun depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!