Syukur mandat dikembalikan kepada rakyat: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran atas pembubaran Parlimen sekali gus membuka kembali mandat rakyat bagi membuat penentuan mutlak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pembubaran dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan parti tersebut berserta pimpinannya sentiasa berjiwa besar dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan rakyat dan tanah air.
“Walaupun parti ini pernah disalah erti angkara fitnah dan tipu daya beberapa tahun lalu, tidak sesekali UMNO berpaling daripada perjuangan untuk rakyat dan negara.
“Dalam keadaan diburuk sangka, ditekan dan diasak dari segenap arah, UMNO tetap istiqamah berpegang kepada kebenaran dan tanggungjawabnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Ismail Sabri menerusi saluran televisyen pada jam 3 petang, Isnin mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada PRU15.
Jelas beliau, ia dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan serta telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyentuh tentang kerjasama UMNO bersama pihak lawan bagi mengembalikan kestabilan negara susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan merupakan suatu perkara berjiwa besar.
Beliau berharap pembubaran Parlimen kali ini merupakan satu langkah yang tepat bagi memberi kuasa penentuan kepada rakyat untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!