Agong kecewa dengan politik semasa, titah PRU15 disegerakan

Ismail Sabri (kanan) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen pada Ahad. - Foto FB Istana Negara
Ismail Sabri (kanan) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada baginda, mengenai pembubaran Parlimen pada Ahad. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah tersebut adalah mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa pada 10 Oktober 2022.

"Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

"Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar SPR menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Fadil menambah, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

"Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 dalam Perutusan Khas pada Isnin.

Beliau berkata, proses berkenaan adalah berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara- suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap," katanya.


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!