Rumah teres dan pencerobohan privasi

A
A
A

PENULIS telah menghasilkan sebuah buku 300 halaman sebagai rujukan orang awam, akademik dan arkitek serta perancang bandar.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu bertajuk Rumah Teres dan Keserasian Budaya Masyarakat Malaysia, ditulis bersama dengan Nik Farah Elina Nik Ramzi Shah.

Sebagai pembuka cerita, ramai tidak mengetahui akar umbi asal-usul reka bentuk rumah teres di Malaysia.

Dalam beberapa kajian akademik, penulis dapati ia mempunyai tiga akar sejarah. Pertama, rumah teres berakar dari kuarters JKR yang dibina berpanggung daripada kayu. Hanya tinggal satu dua contoh di Taiping. Ia dibina bagi pekerja kerajaan golongan terendah!

Akar sejarah kedua rumah teres adalah daripada kedai-rumah atau shop-house dari China yang terbina daripada teknologi batu dan lepa-plaster. Perancangan

Orang Inggeris telah membina landasan perancangan perbandaran seperti Georgetown, Taiping dan Singapura daripada konsep rumah-kedai teres yang mempunyai laluan awam, disebut sebagai ‘kaki lima’ sebab lebarnya pun lima kaki!

Akhir sekali akar rumah teres sejarahnya adalah revolusi komunis dan sosialis di Rusia dan Jerman yang memperkenalkan konsep ‘perumahan pekerja’ di mana konsep perumahan estet rumah teres terhasil bagi merumahkan pekerja-pekerja industri dan kilang dalam revolusi Worker’s Revolution.

Dalam menyahut keperluan perumahan yang pesat untuk industri dan bandar di Malaysia, maka arkitek tempatan mengusulkan konsep rumah teres daripada ketiga-tiga akar ini bagi menjawab persoalan perumahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Rakyat disifatkan sebagai ‘entiti biologi yang tidak berbudaya’ seperti terhasil daripada revolusi komunis yang menolak sejarah kapitalisme serta kongkongan budaya tradisional yang terhasil daripada kepercayaan agama serta pegangan nenek moyang.

Sebab itulah rumah teres di Malaysia ibarat lot parkir kereta, tersusun untuk ‘parking’ keluarga semalam dua! Tidak ada elemen budaya yang diambil kisah maka terjadilah konflik budaya secara senyap!

Pencerobohan privasi bermaksud konflik budaya kehidupan di antara kaum dari sudut susunan ruang luaran dan dalaman bangunan. Contoh pertama adalah ruang dapur di belakang rumah yang bertembung dengan ruang dapur rumah kaum lain. Walaupun terdapat lorong pemisah namun udara yang terperangkap dalam lorong ini tidak menggalakkan asap masakan naik ke atas tetapi ia menyelinap masuk rumah kaum lain.

Masalah asap ini juga timbul di bahagian depan porch kereta di mana kaum India dan Cina menjalankan upacara sembahyang. Asap kenderaan yang beracun daripada kereta yang dihidupkan juga menjadi elemen pencerobohan privasi. Apakah penyelesaiannya?

Arkitek perlu memperkenalkan konsep chimney atau serombong asap! Mungkin ramai yang tertawa akan idea ini kerana serombong asap hanya popular di negara barat sebelum pemanas udara elektrik diperkenalkan.

Bagi saya, konsep serombong asap yang boleh mengurangkan pencerobohan asap daripada masakan, kereta dan ritual agama amat perlu bagi memadamkan isu perkauman di antara rakyat di Malaysia.

Satu lagi masalah asap pembakaran daripada ritual agama di luar bangunan.

Pihak majlis tidak mengkhususkan sesuatu tempat pembakaran ‘wang akhirat’ oleh kaum Cina dan abu serta asap menjadi masalah pada penghuni rumah dan restoran di kawasan perumahan.

Kita tidak boleh menyalahkan kaum ini kerana ia adalah kepercayaan mereka dan kita harus menghormati aktiviti ini dalam semangat perpaduan dan toleransi yang diungkapkan Rukun Negara serta agama Islam atau agama lain.

Memperkenalkan konsep serombong asap ini bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan baik antara kaum, ia juga menjadi karakter atau ciri rumah teres ke-Malaysia-an.

Tak payah letak bumbung Minangkabau pada bangunan kerana ekspresi sebenar dan tulen seni bina adalah daripada rupa bentuk yang menjawab persoalan fungsi teknikal, aktiviti dan budaya sesuatu kumpulan pengguna.

Ini adalah mantera utama prinsip seni bina modenisme awal kurun ke-20 yang sepatutnya menjadi batu asas pemikiran kritis pendidikan seni bina di Malaysia. Adalah diharapkan pihak arkitek memahami kaedah reka bentuk bangunan untuk manusia berbudaya dan bukannya sekadar menyusun alang, tiang dan dinding dengan cara tipologi tiruan.

Pihak Majlis yang meluluskan pelan bangunan perlu dikursuskan dengan maklumat senibina perumahan dan interaksi budaya seperti termaktub dalam buku saya bagi kesejahteraan semua.

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!