Gadis hilang di Kuala Tahan ditemui di Kuala Lumpur
JERANTUT - Seorang gadis yang dilaporkan hilang di Kuala Tahan di sini Jumaat lalu berjaya ditemui di sebuah rumah di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada Ahad.
Mangsa berusia 20 tahun ditemui pada jam 6.15 petang di rumah berkenaan bersama seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang merupakan suspek dalam kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut selain cuba melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa.
"Remaja terbabit didapati cuba mengugut keluarga mangsa menerusi pesanan WhatsApp dengan meminta sejumlah wang sebagai 'jaminan' keselamatan gadis itu.
"Susulan itu, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan mangsa dijalankan sebelum kedua-duanya berjaya dikesan di Kuala Lumpur pada Ahad sebelum dibawa ke Jerantut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mazlan berkata, suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.
"Sebelum ini mangsa dilaporkan hilang oleh bapanya apabila tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah pusat inap desa di Kuala Tahan.
"Pada hari kejadian, mangsa dikatakan keluar membeli air kira-kira pukul 4 petang dan tidak kembali ke tempat kerjanya.
"Kakak mangsa keluar mencari sebelum menemui motosikal digunakan gadis itu ditinggalkan di tepi jalan kira-kira 400 meter dari pusat inap desa berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!