'Bubar Parlimen menjelang banjir, UMNO tidak prihatin pada rakyat'
SHAH ALAM - Pembubaran Parlimen menjelang musim banjir yang akan tiba tidak lama lagi membuktikan UMNO tidak peka tentang risiko dan musibahnya terhadap rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Husamudin.
Beliau berkata, parti tersebut sanggup perjudikan nyawa rakyat dan kehilangan harta benda akibat musibah yang akan melanda demi memuaskan nafsu politik UMNO.
“Pengumuman ini dilakukan setelah mendapat taklimat mengenai risiko dan keadaan banjir yang bakal berlaku.
“Semua peringatan risiko dan banjir besar seolah-olah tidak penting di mata UMNO demi kuasa semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas beliau, ia dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan serta telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Ulya mengingatkan bahawa rakyat mesti membuat keputusan yang rasional pada pilihan raya kali ini.
“Jangan lagi memilih parti yang jelas tiada integriti dan gila kuasa. Masa untuk rakyat bangkit dan menghantar mesej yang jelas kepada mereka bahawa negara ini rakyat yang punya dan tolak UMNO secara total pada pilihan raya yang akan menjelma,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!