PRU15: GRS adakan mesyuarat muktamad kerusi
KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk memuktamadkan peruntukan kerusi untuk parti komponen gabungan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jentera pilihan raya GRS sudah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, semua parti komponen GRS bersatu dalam menghadapi PRU15 dan telahpun mencapai kata putus beberapa perjanjian termasuk menggunakan logo GRS.
"Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah bersedia diaktifkan semula dan semua pihak komponen juga telah membuat persiapan masing-masing dalam semangat GRS sebenar," katanya dalam kenyataan susulan pengumuman pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Isnin.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan GRS-BN masih mempunyai tiga tahun untuk berkhidmat.
"Oleh itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak diperlukan," katanya.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU15.
Bagaimanapun, semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor dinasihatkan untuk membubarkan DUN masing-masing supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diadakan serentak dengan PRU15.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Hajiji telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk turun padang bagi mengendalikan dan menilai kerosakan akibat banjir yang berlaku di beberapa lokasi di Kota Kinabalu dan sekitarnya pada Ahad.
Beliau juga telah mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi cuaca buruk yang mungkin akan menyebabkan lebih banyak bencana banjir dan memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!