Evolusi ibadah haji
IBADAH haji merupakan Rukun Islam kelima yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkemampuan.
Maka, setiap umat Islam perlu menanam niat dan azam untuk ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan haji.
Namun diakui realitinya, tidak semua berpeluang melakukan; sama ada tidak mampu dari segi kewangan, kesihatan, mahupun kesempatan masa.
Menurut buku Haji di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300–1405H (1896–1985M) tulisan Muhammad Salleh Haji Awang yang diterbitkan oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji pada 1986, orang Melayu pertama yang mengerjakan ibadah haji ialah Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah, yang memerintah Kesultanan Melaka dari 1477 hingga 1488.
Dalam buku Hikayat Hang Tuah pula, dinyatakan bahawa Laksamana Hang Tuah juga sempat menunaikan haji di Makkah semasa dalam perjalanan ke Rom.
Catatan sejarah juga memberitahu kita tentang Laksamana Cheng Ho, seorang pelayar Muslim yang hebat dari tanah besar China, yang telah memimpin armada sangat besar, iaitu sebanyak 200 kapal bersama 27,000 anak kapal dalam tujuh misi pelayaran diplomatik ke Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika Timur dari 1405 hingga 1433.
Sebagai seorang Muslim yang taat, Cheng Ho turut bercita-cita untuk menunaikan haji bagi menyempurnakan kehidupan sebagai penganut Islam. Beliau berkesempatan menunaikan umrah dan haji semasa pelayarannya yang terakhir.
Misi Laksamana Cheng Ho amat berbeza dengan pelayar Eropah. Armada Cheng Ho juga jauh lebih hebat dan kuat berbanding armada Eropah seperti yang diketuai oleh Christopher Columbus, Vasco da Gama dan Ferdinand Magellan, yang hanya terdiri daripada tiga hingga lima kapal.
Christopher Columbus belayar ke Amerika bukan sekadar mencari emas dan harta, tetapi menjajah tanah serta membunuh ramai penduduk pribumi Red Indian dan menjual sebahagian mereka sebagai hamba di Sepanyol.
Mati dalam peperangan
Ferdinand Magellan pula belayar mengelilingi dunia dan menganggap dirinya sebagai penjajah tetapi akhirnya mati dalam peperangan; hanya satu kapal bersama 18 anak kapal yang pulang.
Sebaliknya, Cheng Ho menjalin hubungan diplomatik dengan semua negara yang dilawatinya, di samping menjaga keamanan di laut, menghapus ancaman lanun dan memberi perlindungan kepada negara yang lemah.
Dalam pelayaran pertama beliau dari 1405–1407, Cheng Ho telah berhenti di beberapa pelabuhan iaitu Champa, Jawa, Palembang, Melaka, Aru, Samudera, Sri Lanka, Cochin, dan Calicut.
Cheng Ho turut singgah di Melaka dalam pelayarannya yang ketiga, keempat, kelima dan ketujuh.
Dalam laporan yang lebih terkini sebuah program televisyen menyiarkan kisah berkaitan haji pada 28 Ogos 2018.
Ia berkenaan Mokhtar Osman yang berumur 92 tahun, yang berkesempatan menunaikan haji pada 1954 dengan menaiki kapal dari Pelabuhan Pulau Pinang (Port Swettenham).
Tempoh pelayaran pergi dan balik adalah sekitar 14 hingga 16 hari, satu tempoh panjang dibandingkan dengan perjalanan melalui udara kini yang mengambil masa beberapa jam sahaja.Dahulu, Haji Mokhtar mengambil masa selama tiga hingga empat tahun sebelum dapat mengumpul kira-kira RM800 untuk menunaikan haji. Kos sebenar untuk menunaikan haji pada 2018 telah jauh meningkat kepada RM22,450.
Bagaimanapun, alhamdulillah, dengan adanya Tabung Haji (TH), bakal haji hanya perlu membayar RM9,980 manakala RM12,470 ditanggung menerusi sistem subsidi agar lebih ramai pencarum mampu menunaikan rukun Islam yang kelima ini.
Semoga pendeposit TH akan terus yakin dan kekal menyimpan di TH. Kedudukan kewangan TH juga telah pulih dengan tadbir urus dan ketelusan TH yang lebih baik sekarang ini, dan hibah masih dapat diagihkan mengikut Akta Tabung Haji, walaupun kecil.
Sehubungan itu, marilah kita banyakkan doa kepada ALLAH SWT semoga TH akan terus bertambah baik dan maju agar dapat membantu kita semua untuk menjadi tetamu ALLAH sekurang-kurangnya sekali seumur hidup kita.
*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!