Pas tak akan putus asa pujuk UMNO
KOTA BHARU - Pas tidak berputus asa dan akan terus berusaha memujuk UMNO untuk bersama-sama parti itu dalam penyatuan ummah.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, usaha yang dibuat itu bukan bersifat peribadi sebaliknya untuk penyatuan Islam dan Melayu.
“Walaupun UMNO kata penyatuan ini mempunyai muslihat, namun kita lakukannya untuk kepentingan politik Melayu Islam.
“Sebagai contoh semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, kami berusaha sampai ke garisan terakhir (memujuk) namun gagal sehingga terpaksa turun sebagai lawan,” katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim pada Isnin.
Bagaimanapun Mohd Amar berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan penyatuan ummah itu berlaku.
Ujarnya, jika gagal Pas akan berdepan dengan UMNO sebagai lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Justeru katanya, Pas berharap pemimpin UMNO dapat menerima penyatuan ummah itu sebelum hari penamaan calon.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan Pas berhubung kerjasama dalam PRU15 jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan.
Menurutnya, tiga syarat itu telah dikemukakan kepada Pas ketika beliau bertemu dengan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!