Mesyuarat Biro Politik UMNO tak bincang isu Agong kecewa
KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO tidak membincangkan mengenai kekecewaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkait situasi politik semasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata, sebarang perincian mengenai intipati mesyuarat akan dinyatakan kemudian.
"Itu kita akan nyatakan nanti, kita pun tak tahu apa Yang di-Pertuan Agong kecewa.
"Kita tak bincang pun tentang kekecewaan Yang di-Pertuan Agong, sudah pastinya negara memerlukan sebuah keadaan politik yang stabil," katanya ditemui selepas Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Menurutnya, baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
Sementara itu, ditanya adakah mesyuarat membincangkan mengenai hubungan dengan Pas, Ab Rauf menafikan perkara itu.
"Tak (bincang mengenai Pas)...kita bincang pasal parti kita.
"Fokus kita nak menang pilihan raya umum (PRU). Kita minta jentera di semua peringkat bersedia dan merancang dengan lebih teratur bahawa PRU kali ni UMNO mesti dapat keputusan yang baik," katanya.
Mesyuarat Khas Biro Politik UMNO berlangsung selama 2 jam bermula 5 petang Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!