Pemilik akaun Twitter muat naik video berkait TYT Melaka dibebaskan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

ALOR GAJAH - Pemilik akaun Twitter menggunakan nama Jay Jay Denis, yang ditahan berkaitan hantaran video dimuat naik di media sosial berkenaan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dibebaskan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berkenaan dibebaskan kira-kira 11.30 malam Ahad, selepas keterangan beliau selesai direkodkan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

"Pemilik akaun Twitter berkenaan dibawa dari Klang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah oleh sepasukan polis dari IPD ini, bagi membantu siasatan berkaitan satu laporan polis yang dibuat ke atasnya, ekoran hantaran video yang dimuat naik di media sosialnya itu pada 6 September lepas.

"Pemilik akaun berkenaan telah dibebaskan malam tadi, setelah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, sehubungan itu, dalam proses melengkapkan siasatan berkenaan, semua pihak diminta tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang mengelirukan, bagi memberi ruang siasatan yang adil dan telus dijalankan ke atas kes tersebut.

Pada Ahad, media melaporkan seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan pemilik akaun Twitter tersebut, ditahan polis malam tadi.

Lelaki itu ditahan dipercayai bagi membantu siasatan berhubung hantaran di Twitter miliknya mengenai konvoi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada bulan lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!