Tidak adil kaitkan UMNO sebagai parti rasuah: Exco Pemuda

Farhan ketika menjadi panel dalam program Sinar Live bertajuk Perang PRU15 Bermula yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.
Farhan ketika menjadi panel dalam program Sinar Live bertajuk Perang PRU15 Bermula yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk secara rambang mengaitkan partinya dengan imej rasuah dan salah guna kuasa hanya disebabkan terdapat bekas pemimpinnya yang didapati bersalah atas kesalahan tersebut.

Katanya, ini kerana UMNO sentiasa mempunyai pelapis pimpinan muda yang bersedia untuk memimpin negara pada masa hadapan.

“Ia tidak boleh dan tidak adil untuk ia dilemparkan secara rambang kepada semua ahli UMNO.

“Sebagai contoh saya yang masuk UMNO 2018 ketika UMNO kalah. Generasi saya tidak mewarisi apa juga kesilapan seperti mana digambarkan rakyat bahawa kami korup. Kami juga melalui proses perjuangan yang sangat panjang dan penuh jerih perih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Sinar Live bertajuk Perang PRU15 Bermula yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.

Hadir sama dalam program diacarakan oleh Hazwan Mokhtar ialah ialah Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar A Manap.

Farhan berkata, tahap kesediaan pimpinan muda di dalam UMNO juga boleh dilihat melalui dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di Melaka dan Johor apabila ramai kumpulan tersebut diketengahkan sebagai calon.

“UMNO akan terus bergerak dengan pelapis baharu. Hari ini kalau kita tengok dalam PRN Melaka sebagai contoh, kita ada senarai jumlah pemimpin muda’

Artikel Berkaitan:

“Di Johor sebagai contoh kita tonjolkan pemimpin muda sebagai calon dan akhirnya Menteri Besar pun daripada orang muda,” ujarnya.

Farhan menambah, segala tohmahan diberikan oleh pihak lawan kepada UMNO itu tidak dapat menutup pencapaian pernah dicapai oleh UMNO dan BN sebagai parti pemerintah yang membangunkan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini diharapkan dapat menamatkan polemik politik yang berlanjutan di dalam negara sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, setiap rakyat juga diharap agar dapat membuat pilihan terbaik dalam menentukan bukan sahaja masa depan mereka dari segi ekonomi tetapi juga dalam soal struktur dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!