Masyarakat perlu diberi akses perkembangan projek

Pacu pertumbuhan sistem penyampaian lebih responsif terhadap keperluan serta perspektif yang timbul

Masyarakat sivil perlu diberi peluang dan akses terhadap maklumat perkembangan projek yang dijalankan oleh kerajaan dalam Bajet 2023. Gambar kecil: Mohd Faisol
Masyarakat sivil perlu diberi peluang dan akses terhadap maklumat perkembangan projek yang dijalankan oleh kerajaan dalam Bajet 2023. Gambar kecil: Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat sivil perlu diberi peluang dan akses terhadap maklumat perkembangan projek yang dijalankan oleh kerajaan dalam Bajet 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, akauntabiliti sosial ini menggalakkan pihak kerajaan mempertingkatkan kebertanggungjawaban dan memacu pertumbuhan sistem penyampaian lebih responsif terhadap keperluan serta perspektif yang timbul.

“Akses laporan dan maklumat kepada awam haruslah lebih terbuka. Kesedaran tentang keperluan berkaitan sesuatu bajet jika dapat disampaikan secara mudah mampu meningkatkan penggemblengan sumber di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim dilaporkan berkata, pelaksanaan projek dalam Bajet 2023 perlu dilakukan dengan telus bagi mengelakkan ketirisan tambahan pula jumlah hutang negara sudah mencecah lebih RM1 trilion.

Beliau berkata, situasi itu hanya akan menyebabkan generasi Malaysia seterusnya akan menerima bebanan lebih berat untuk meneruskan kelangsungan hidup secara sejahtera.

Namun Mohd Faisol berkata, jika Bajet 2023 dapat dilaksanakan sebagaimana yang dirancang serta tiada isu melibatkan integriti dan ketirisan, negara akan mampu mengurangkan hutang ini pada masa akan datang dengan adanya pelaburan-pelaburan baharu kompetitif yang dibawa masuk, melalui peruntukan pembangunan RM95 bilion.

Tambah Nurhayati, penglibatan masyarakat sivil yang mewakili komuniti juga dilihat menyeimbangkan keterlibatan rakyat dalam memastikan ketelusan dan pemantauan sesebuah projek dijalankan.

“Secara positifnya pembinaan nilai kebersamaan dan akauntabiliti sosial itu akan dapat diwujudkan. Tentunya amat penting literasi undang-undang, teknologi dan lain-lain bidang dipertingkatkan dalam kalangan rakyat untuk memastikan semak imbang yang lebih telus dan tepat.

Artikel Berkaitan:

“Maka, setiap kelompok masyarakat harus memainkan peranannya. Pemahaman baik dalam kalangan rakyat melalui informasi tepat yang disampaikan akan membantu mengelakkan daripada berlakunya rasuah atau ketirisan,” ujarnya.

Selain itu katanya, mewujudkan peluang pertemuan bagi mendapatkan penjelasan secara berkala juga akan mewujudkan komunikasi yang baik antara kerajaan dengan masyarakat.

“Elemen ini amat penting dalam memperjelaskan konteks setempat yang adakalanya terlepas pandang oleh sesetengah pihak.

“Dalam masa yang sama pertemuan tersebut akan menjadi ruang kerajaan mendengar keperluan, pendapat dan luahan kebimbangan serta ini membuka peluang prestasi perkhidmatan awam diperbaiki juga.

“Secara tidak langsung rakyat akan diperkasakan dengan mereka mengambil bahagian dalam membuat keputusan berkepentingan untuk negara,” jelasnya.

Katanya, pintu-pintu rundingan seharusnya dibuka lebih luas bagi memastikan interaksi pihak kerajaan dengan anggota masyarakat berjalan dengan telus.

“Penglibatan masyarakat sivil sebagai anggota mewakili masyarakat akan berupaya membentuk mekanisme yang akan bertindak balas secara kreatif terhadap sebarang perubahan persekitaran.

“Strategi baharu dengan objektif yang sama akan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif bagi memastikan pengurusan bajet mencapai matlamatnya dengan ruang-ruang ketirisan yang ditutup rapat dan pada masa sama dipraktikkan akauntabiliti sosial ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!