Bekas banduan kini petani berjaya
PEKAN - Detik hitam bergelar banduan satu ketika dulu tidak melunturkan semangat Mohd Fadzrul Hakim Othman, 34, untuk berjaya seperti orang lain.
Buktinya, kini anak kelahiran Kelantan itu mampu meraih pendapatan lumayan kira-kira RM10,000 sebulan hasil usaha tanaman halia Bentong di Kuala Pahang dekat Pekan sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, detik hitam dipenjarakan selama empat tahun atas kesalahan pergaduhan bersenjata sebelum ini tidak menghalang dirinya untuk mencari sumber pendapatan halal sekali gus dapat membantu keluarganya.
“Kisah lama saya lupakan, tapi jadikan ia pengajaran agar tidak ulang kesilapan sama.
“Saya bertuah kerana mendapat sokongan padu ahli keluarga yang tidak putus asa dan menerima saya sebaik mungkin,” katanya lagi.
Ujar bapa kepada seorang anak perempuan itu lagi, dia mengusahakan ladang dengan keluasan lebih 0.4 hektar secara fertigasi melibatkan 8,000 polibeg.
“Tidak susah untuk jaga tapi ia perlukan komitmen tinggi khususnya dalam penggunaan baja dan racun serangga.
“Dengan kesedaran dan permintaan tinggi halia Bentong sekarang memang ia memberikan prospek cerah buat pengusaha seperti kami dalam meneroka pasaran,” ujar Mohd Fadzrul Hakim.
Katanya, buat masa ini pasaran halia Bentong atau nama saintifiknya, zingiber officinale mendapat permintaan tinggi dan kini mencecah harga RM23 sekilogram di pasaran.
“Buat masa ini saya ada pelanggan tetap dari Selayang, Selangor dan Kluang, Johor dan sejujurnya masih tak dapat penuhi permintaan sedia ada,” ujar Mohd Fadzrul Hakim.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mohd Fadzrul Hakim yang kini memiliki dua pekerja tetap berhasrat untuk mempelbagaikan lagi tanaman seperti cili besar, sawi, salad dan kangkung.
“Jangan malu dan takut untuk berjaya, sekali gagal tidak bermakna gagal selamanya selain berharap masyarakat juga perlu memberikan peluang kepada bekas banduan untuk berjaya,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!