Derbi Naning: Negeri Sembilan waspada muslihat Melaka United

Devan (kiri) mahu para pemain Negeri Sembilan memberi sepenuh tumpuan berdepan Melaka United pada Selasa. -Foto: Negeri Sembilan Football Club
Devan (kiri) mahu para pemain Negeri Sembilan memberi sepenuh tumpuan berdepan Melaka United pada Selasa. -Foto: Negeri Sembilan Football Club
A
A
A

NEGERI Sembilan FC mengambil pendekatan berwaspada apabila berdepan Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Selasa.

Pengendali skuad Hobin Jang Hobin, K Devan berkata, dia yakin skuad Hang Tuah itu akan tampil corak permainan lebih agresif selepas tewas kepada Terengganu FC (TFC) sebelum ini.

Malah, Devan juga tidak menolak kemungkinan pasukannya itu bakal keciciran mata sekiranya mengambil mudah cabaran lawan.

“Kita tidak akan mengambil mudah cabaran Melaka United. Seperti kita tahu mereka mungkin akan mencari kemenangan selepas tewas menentang Terengganu sebelum ini.

“Jadi, saya harap pemain jangan terlalu yakin untuk mengutip tiga mata penuh, sebaliknya perlu tampil dengan aksi yang konsisten supaya tidak terlepas tiga mata penting.

“Kita tidak boleh keciciran mata sekiranya mahu bersaing merebut slot ke Piala AFC musim depan. Jadi gunakan kesempatan bermain di laman sendiri untuk kutip tiga mata,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan melakar keputusan seri dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 18 Jun lalu.

Pada masa sama Devan mengakui lega apabila para pemainnya bebas kecederaan menjelang Derbi Naning kedua-dua pasukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mengakui sedikit resah berkenaan tahap kecergasan para pemain skuad Jang itu yang keletihan selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu.

“Untuk perlawanan Selasa), semua pemain termasuk kesebelasan utama pasukan boleh diturunkan kerana tiada dalam kalangan pemain yang mengalami kecederaan serius.

“Cumanya saya sedikit risau, kerana mereka kekurangan rehat memandangkan masih belum pulih dari penat ketika perlawanan menentang Kedah sebelum ini,” ujarnya.

LIGA SUPER - SELASA (11 OKTOBER)

Sarawak United lwn Selangor FC

(Std Negeri, 7.30 malam)

Negeri Sembilan FC lwn Melaka United

(Std Tuanku Abdul Rahman, 8.15 malam)

Sri Pahang FC lwn Sabah FC

(Std Darul Makmur, 8.15 malam)

PJ City lwn Penang FC

(Std Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam )

Kuala Lumpur City lwn TFC

(Std Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 malam)

JDT lwn Kedah Darul Aman

(Std Sultan Ibrahim, 9 malam)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!