PRU15 pertengahan November ini?
Pemerhati politik Malaysia ramal hari pengundian tidak berlaku pada musim banjir
SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka akan diadakan dalam masa terdekat iaitu sebelum akhir November nanti yang diramal berlaku bencana banjir.
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi di Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ia berikutan selepas daripada tarikh pembubaran Parlimen, tarikh mengundi perlu ditentukan dalam tempoh masa 60 hari.
Ujar beliau, kebiasaan Speaker Dewan Rakyat akan memaklumkan kekosongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mereka mengeluarkan writ pilihan raya.
“Dalam tarikh pembubaran itu, ada masa 60 hari untuk menentukan tarikh mengundi dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh berkenaan.
“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada hari ini (Isnin), maknanya dalam masa dua bulan pilihan raya perlu dilaksanakan.
“Saya percaya dalam situasi sekarang ini, memandangkan ada jangkaan musim tengkujuh atau banjir yang akan melanda pada akhir November, diikutkan pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, Isnin.
Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November 2022, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Muhammad Fathi berkata lagi, kerajaan yang ada pada ketika ini juga bertukar status kepada caretaker government (kerajaan sementara) sepanjang tempoh pembubaran.
“Dari sudut strukturnya kekal tetapi fungsi berbeza. Maknanya kerajaan sementara ini tidak boleh memperkenalkan dasar-dasar yang penting dan membuat perjanjian signifikan bagi pihak kerajaan
“Paling penting, pemimpin politik yang menganggotai kerajaan sementara tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk aktiviti kempen pilihan raya,” ujar Muhammad Fathi lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!