Dua penuntut OKU teruja mulakan kehidupan di kampus
JOHOR BAHRU - Dua penuntut wanita kategori orang kurang upaya (OKU) yang mendaftar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini pada Isnin teruja memulakan hidup baharu dan sedia berdepan pelbagai cabaran sebagai mahasiswa.
Nur Hanis Zainalabidin, 19, yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia mengakui gementar kerana pertama kali perlu berdikari dan perlu berjauhan dari keluarga.
Anak bongsu daripada empat beradik dan berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat itu berharap dapat mengikuti pengajian dengan lancar.
"Saya memerlukan tongkat untuk berjalan. Apabila melibatkan jarak yang jauh atau perlu menaiki tangga yang tinggi, saya perlu berhenti untuk berehat sebentar.
"Saya berharap dapat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas sesi pendaftaran penuntut baharu UTM, pada Isnin.
Nur Hanis dilahirkan dengan masalah pseudo achondroplasia iaitu ketumbuhan yang menyebabkan tubuh badannya kelihatan seperti kanak-kanak walaupun sudah berusia 19 tahun.
Sementara itu, seorang lagi penuntut OKU, Nur Billahizzah Razib, 20, mengakui tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.
Nur Billahizzah yang menghidap penyakit cerebral palsy melibatkan saraf tulang belakang itu juga enggan melihat kekurangan yang dihadapinya sebagai penghalang buat dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
"Penyakit yang saya hadapi ini menyebabkan saya cepat berasa penat dan badan juga akan berasa lenguh-lenguh, tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak sambung belajar.
"Walaupun masih belum membuat sebarang keputusan tentang karier pilihan masa depan, tetapi saya akan belajar bersungguh-sungguh. Buat masa ini saya ikut 'flow' sahaja," katanya yang berasal dari Seri Medan, Batu Pahat.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM menerima kemasukan seramai 3,558 penuntut baharu peringkat Sarjana Muda Sepenuh Masa di dua kampusnya iaitu di sini dan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 3,401 penuntut mendaftar di kampus UTM Johor Bahru manakala 157 penuntut di kampus UTM Kuala Lumpur.
"Mereka terdiri daripada 1,638 penuntut lelaki dan 1,920 penuntut perempuan yang akan mengikuti 58 program sarjana muda di 12 fakulti.
"Seramai 567 penuntut antarabangsa dari 35 negara antaranya Bangladesh, Brunei, China, Ecuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen juga telah mendapat tawaran mengikuti pengajian di UTM untuk sesi akademik baharu ini," katanya.
Beliau berkata, antara yang menjadi pilihan ialah program pengajian di bawah Fakulti Komputeran (FC), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!