Fasih bahasa Melayu, warga Nigeria teruja belajar di UniSZA

Mubarakah (kanan) bersama keluarganya ketika mendaftar bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023 di UniSZA pada Isnin.
Mubarakah (kanan) bersama keluarganya ketika mendaftar bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023 di UniSZA pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang pelajar berasal dari Nigeria gembira dan teruja kerana dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mubarakah B’Olowatife Mohammed Muneer’deen Olodo Al Shafi’I, 20, berkata, dia bersyukur kerana impian untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang menjadi pilihannya sejak di bangku sekolah menjadi kenyataan.

"Saya meminati jurusan undang-undang selepas menonton drama korea berjudul Suits ketika di Tingkatan Empat.

"Sejak itu, saya belajar bersungguh-sunguh untuk menjejak kaki ke menara gading," katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda sesi 2022/2023 di pekarangan kolej kediaman UniSZA di Kampus Gong Badak di sini pada Isnin.

Mubarakah yang merupakan anak sulung dari empat adik-beradik menyimpan impian untuk menjadi seorang peguam.

Katanya, peluang yang diberikan itu tidak akan disia-siakan malah dia berjanji akan berusaha untuk membahagiakan ibu dan bapanya.

"Saya boleh bertutur dalam bahasa Melayu, jadi tiada masalah untuk saya berkomunikasi dengan rakan-rakan di sini walaupun saya bukannya berasal dari negara ini.

"Saya tidak sabar untuk memulakan pengajian di kampus ini dan mencari rakan-rakan baharu di sini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, seramai 2,300 pelajar baharu pengajian peringkat ijazah sarjana muda mendaftar bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023.

Katanya, kesemua pelajar baharu ini akan mengikuti 40 program pengajian di 11 fakulti antaranya perubatan, sains kesihatan, pengajian kontemporari Islam, perniagaan dan pengurusan.

Beliau memberitahu, semua pelajar akan mengikuti pengajian secara bersemuka dan akan ditempatkan di kolej kediaman yang disediakan pada semester ini

"Saya harap pelajar yang mendaftar di Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan kampus dan membina kecemerlangan diri dan kecemerlangan universiti.

"Tahniah kepada semua yang berjaya. Semoga anda semua dapat mengikuti pengajian serta menjaga nama universiti dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!