Dokumen sulit LHDN: Penaung KDA FC pertahan Sang Kenari
PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil mempertahankan kelab tersebut berhubung berkaitan isu fitnah melibatkan dokumen sulit surat potongan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tersebar luas di kalangan peminat sejak Isnin.
Menurut Mohd Daud, pengurusannya melakukan apa sahaja melibatkan kerangka undang-undang Malaysia bagi memelihara pasukan walaupun penyokong dan orang ramai tidak mengetahui segala gerak kerja dalam isu kebajikan pemain, percukaian, perbelanjaan, perancangan dan impian KDA FC.
"Kami tidak mahu dan kami tidak benarkan sesiapa pun menceroboh kubu dan rumah kami walaupun nampak miskin dan naif. Kami percaya tanggungjawab kami yang pertama dan terakhir adalah kepada pasukan KDA FC dan bukan orang lain.
"Kami juga mahu mengurus pasukan Sang Kenari dengan fakta yang sahih dan bukan kepalsuan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.
Tokoh kewangan Islam itu menjelaskan pengurusan akan membuat apa yang terbaik dalam menjaga kelangsungan dan kelestarian pasukan sama ada dari segi persembahan atau pentadbiran.
"Sesiapa yang cuba menceroboh pondok dan rumah kami yang mungkin nampak lemah, lembik dan goyang, tunggulah akibatnya. Semoga fakta dan data mengatasi helah dan tipu daya dalam kehidupan yang sementara ini," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kelab menafikan sekeras-kerasnya ciapan wartawan itu dan akan mengambil tindakan selaras dengan undang-undang bagi membersihkan nama dan imejnya.
Menurutnya, satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.
"Surat yang dikongsi itu sepatutnya hanya berada dalam milikan LHDN dan KDA FC berkenaan jadual penyelesaian pembayaran cukai dan tidak tertunggak sehingga ke hari ini.
"Salinan kepada Malaysian Football League (MFL) juga sebagai makluman penjadualan pembayaran cukai dan tidak tertunggak kepada Badan Perlesenan MFL bagi memenuhi syarat pelesenan tahun hadapan," katanya menjelaskan keadaan.
Tambahnya, KDA FC dukacita dengan penyebaran dokumen sulit berkenaan tanpa kebenaran dan rumusan dibuat wartawan tersebut telah memberi persepsi negatif kepada pengurusan kelab serta imej negeri Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!