'Alhamdulillah tak bergaduh, baik-baik belaka'
TEMERLOH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gembira proses rundingan pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang hampir selesai dan berjalan lancar setakat ini.
"Saya rasa bangga Pahang dikatakan negeri yang boleh menang dan insya-ALLAH PN boleh menguasai Pahang dan membentuk kerajaan di peringkat negeri Pahang tapi syaratnya bekerja bersungguh-sungguh, berganding bahu dan pastikan setiap jentera menjalankan amanah.
"Dah pasti banyak kerusi, ada 14 kerusi Parlimen, 42 DUN, dah runding siapa nak apa. Alhamdulillah tak bergaduh, baik-baik belaka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan PN Pahang di Dewan Al-Makmur di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Bagaimanapun, Muhyiddin berharap proses itu dapat diselesaikan segera memandangkan tempoh masa terhad menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Parlimen dibubarkan pada Isnin.
"Ikutkan peraturan ada tempoh 60 hari selepas hari ini (Isnin), mungkin dalam tempoh seminggu dua ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan umumkan tarikh penamaan calon, pembuangan undi awal dan sebenar.
"Sebab itu proses perundingan kerusi perlu selesai seberapa segera, jadi jika semua parti sudah bersetuju, kami di peringkat pusat secara mudah boleh mengendors dengan segera.
"Kita juga akan wujudkan hanya satu jentera yang akan bergerak atas nama PN dan bekerja sebagai satu pasukan," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Tuan Ibrahim menyifatkan PN adalah hasil gabungan orang tua dan muda.
"Pas dah lebih 60 tahun, memang Bersatu parti baru beberapa tahun tetapi yang mendukung Bersatu bukan orang baru, (Muhyiddin) orang lama dalam politik dan berpengalaman.
"Insya-ALLAH, Pahang bukan negeri yang sukar, kita akan gerakkan semua kekuatan di peringkat DUN, Parlimen. Insya-ALLAH PN akan menerajui kepimpinan di Pahang," tambah beliau.
Dalam majlis itu juga, turut dilancarkan Skuad Prihatin PN untuk berdepan musim banjir yang telah diwujudkan sejak tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!