Polis kesan dua wanita suspek curi rantai emas
HULU TERENGGANU - Polis kini mengesan dua wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian curi dalam sebuah premis kedai emas di Bandar Kuala Berang, di sini, pada petang 6 April lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata suspek disyaki mencuri seutas rantai emas bernilai RM7,350 pada jam 2.37 petang berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Kejadian disedari pengadu berusia 50 tahun sekitar jam 3 petang pada 7 April semasa buat pemeriksaan barang kemas di dalam kedainya, yang mendapati seutas rantai emas berat lebih kurang 42.28 gram tiada.
"Pada 8 April lebih kurang jam 4.30 petang, pengadu melihat rakaman CCTV dipasang di kedainya. Hasil semakan mendapati terdapat imej dua wanita bertudung masuk ke premis yang kemudiannya ingin membeli barang kemas.
"Semasa proses jual beli emas berlangsung, salah seorang wanita tersebut mengambil seutas rantai lalu menyorokkannya menggunakan tangan kiri sebelum dimasukkan ke dalam beg tangan dibawa bersamanya.
"Semasa hari kejadian, pengadu sedikit pun tidak perasaan perbuatan suspek dan laporan polis dibuat pengadu pada 8 April jam 6.24 petang," katanya.
Tambah Mohd Adli, kedua-dua suspek disyaki warganegara Indonesia berdasarkan cara berpakaian serta bahasa yang dituturkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Usaha mengesan suspek giat dibuat. Orang ramai yang punyai sebarang maklumat berkaitan suspek diminta hubungi polis di talian 09-6811222 atau 09-6812419," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!