Jual kopi, teh pandu lalu RM2
MELAKA - Seorang pemuda yang juga mekanik basikal kreatif menggunakan kemahiran dimiliki dengan mengubah suai beca untuk menambah pendapatan melalui jualan kopi dan teh secara pandu lalu.
Ahmad Usamah Nazar, 21, berkata, dia memulakan jualan kopi dan teh panas berharga RM2 secawan sejak tahun lalu dengan hanya menggunakan beca terpakai milik keluarganya itu.
Menurutnya, berbekalkan modal wang simpanan berjumlah RM500, dia memulakan perniagaan itu menggunakan nama Kopi Ahmad.
"Sebenarnya idea menjual minuman pandu lalu beca ini datang daripada abang saya selepas saya memberitahu minat untuk berniaga makanan.
"Selain minuman, saya juga menjual sarapan pagi yang ringkas seperti sosej, roti daging, sandwich, mi dan bihun goreng," katanya ketika ditemui di Klebang di sini pada Selasa.
Jelas Ahmad Usamah, setelah hampir setahun mengusahakan jualan kopi dan teh, ia semakin mendapat sambutan dan mampu meraih pendapatan kasar antara RM180 hingga RM250 sehari.
"Namun ada kalanya jualan tidak habis dan saya akan sedekahkan kepada jiran berdekatan.
"Alhamdulillah bermula dengan menjual 15 cawan dan sekarang bilangan cawan meningkat dan rezeki juga semakin bertambah," ujarnya.
Tambahnya, selepas selesai berniaga, dia kemudian akan membuka bengkel basikal tidak jauh dari kawasan itu bermula jam 2 hingga 6.30 petang.
"Bukan mudah untuk berjaya tanpa usaha, yang penting kita manfaatkan usia muda dan kesihatan dengan baik untuk mencari wang sendiri," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!