'Simpan’ soal balas saksi, mahkamah tegaskan tiada lagi toleransi
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa tidak akan bertoleransi dengan pasukan pembelaan yang sering ‘menyimpan’ sesi soal balas saksi pendakwaan kerana peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai urusan lain.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Sequerah berkata, sekiranya perkara sama berulang, mahkamah beranggapan pemeriksaan balas telah dijalankan, kemudian diteruskan dengan pemeriksaan semula.
“Saya tak boleh tunggu dan membazirkan masa, ada beberapa jam lagi ke 2.30 petang, apa kita hendak buat sehingga tengah hari ini?
“Anda (peguam Najib yang lain) mampu untuk menyoal balas saksi ini, tidak perlu tunggu peguam utama,” katanya selepas saksi pendakwaan ke-40, bekas Pengarah Urusan, AmInvestment Bank Berhad, Kok Tuck Cheong, 67, selesai membaca pernyataan saksinya.
Sequerah membuat teguran itu sejurus peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan bahawa, saksi tersebut akan disoal balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sebelah petang.
Ini kerana katanya, Muhammad Shafee mempunyai prosiding kes lain di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid.
Bagaimanapun, permohonan pembelaan itu mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Beliau berkata, penangguhan sesi soal balas saksi menyebabkan pihak pendakwaan berdepan kesukaran dalam mengendalikan perbicaraan dengan lebih berkesan kerana tidak boleh memanggil saksi lain.
Sri Ram: Semua pihak perlu atur jadual dengan lebih berkesan, kami bukannya duduk diam (perbicaraan ini) tanpa membuat apa-apa, kami juga kena buat pelarasan.
Sequerah: Anda semua (Shafee & Co.) mempunyai pasukan yang besar dan anda (Wan Aizuddin) lebih berkemampuan untuk melakukannya kerana anda sudah biasa dengan fakta kes ini.
Wan Aizuddin: Saya akan maklumkan perkara itu kepada peguam utama dan akan bertindak sewajarnya.
Selain Tuck Cheong, tiga lagi saksi pendakwaan belum disoal balas oleh Muhammad Shafee antaranya SP-38, Pegawai AmBank, Yap Wai Keat, 57 dan SP-39, bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75.
Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung 2.30 petang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!