[VIDEO] UMNO tidak peduli masalah rakyat: Tun M
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan kerajaan membubar Parlimen ketika negara menghadapi musim Monsun Timur Laut menggambarkan UMNO tidak mempedulikan masalah rakyat.
Menurutnya, langkah pembubaran Parlimen itu sebagai satu strategi UMNO di saat pembangkang tidak mempunyai dana mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Buat pilihan raya dalam (musim) banjir inilah cara UMNO," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Gerakan Tanah Air (GTA) di sini pada Selasa.
Beliau mendakwa, UMNO mahu kembali berkuasa sebagai kerajaan dengan menggunakan sogokan.
"Saya kata UMNO akan menang menggunakan sogokan yang biasa digunakan," katanya.
Dr Mahathir berkata, kenyataan itu dibuatnya sebagai peringatan kepada rakyat agar tidak menerima sogokan.
"Kami dari gabungan GTA tidak memerlukan sogokan," katanya.
Mengulas mengenai perbezaan PRU pada tahun 1999 yang turut diadakan pada musim Monsun Timur Laut, Dr Mahathir berkata pada waktu itu perubahan iklim tidak ketara.
"Tetapi kali ini (PRU15), banjir dan angin kencang berlaku. Sebab itu kita rasa pilihan raya tidak sesuai diadakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!