'Tanya Anwar, bolehkah beliau bekerja dengan saya'

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Persoalan sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu menjalinkan kerjasama politik dengan Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan soalan itu patut ditujukan kepada Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

"Tanya Anwar, bolehkah beliau bekerja dengan saya?

"Masalahnya beliau tidak mahu bekerjasama sama saya. Saya seorang yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keterbukaan GTA untuk bekerjasama dengan parti-parti yang 'sebulu'.

Dr Mahathir berkata, kriteria parti 'sebulu' adalah yang mempunyai matlamat utama menentang UMNO.

"Perkara lain kita boleh bincangkan," katanya.

Ditanya sama ada GTA bersedia untuk bekerjasama dengan bekas partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus fikirkan pengkhianat mana yang lebih besar," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pembubaran itu berkuat kuasa serta merta.