Peristiwa hilang 47 hari masih segar dalam ingatan Mirsudiar
GUA MUSANG - Peristiwa tersesat selama 47 hari di dalam hutan sehingga mengorbankan lima kanak-kanak Orang Asli tujuh tahun lepas, masih segar dalam ingatan Mirsudiar Aluj, seorang daripada dua mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
Mirsudiar, 18, berkata, walaupun ada ketikanya detik hitam itu terlintas di fikiran, kini dia gembira tinggal bersama keluarga setelah membuat keputusan untuk berhenti sekolah akibat trauma dan keluarganya bimbang kejadian sama berulang kembali.
"Saya hanya mahu tinggal di kampung ini bersama keluarga, saya gembira di sini.
"Waktu kecil dahulu (setelah dijumpai) ada ramai orang luar datang berjumpa, sekarang sudah lebih dua tahun saya tidak berjumpa orang luar dan tiada yang datang bertanya khabar keadaan diri saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gawin, dekat Pos Gob baru-baru ini.
Dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.
Sementara itu, Along Alej, 62, berkata, selepas dijumpai, cucunya itu lebih suka menyendiri dan kurang bergaul dengan ahli keluarga yang lain selain kerap bermimpi sesat di dalam hutan bersama kawan-kawannya.
"Setelah pulih daripada trauma, Mirsudiar perlahan-lahan dapat menjalani kehidupan seperti anak normal yang lain dan mula bergaul dengan anak-anak yang sebaya di kampung, malah berat badannya juga semakin bertambah,” katanya.
Along berkata, susulan kejadian itu, mereka memutuskan untuk menghentikan persekolahan Mirsudiar kerana gusar dengan keselamatannya, kini mereka berasa lega apabila dapat melihat remaja itu membesar di depan mata walaupun tercicir dalam pelajaran.
Selepas hampir 50 hari hilang, Mirsudiar yang ketika itu berusia 11 tahun dan Norieen Yaakob, 10, ditemukan masih hidup dalam keadaan cengkung dan lemah berhampiran Sungai Perias manakala lima rangka pelajar dijumpai di sekitar kawasan sama iaitu Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin dan Kampung Penad. -- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!